Thursday, 16 February 2012

Tanggal 13 Feb 2012

Assalam..

Wahhh.. dah lama tak menaip di sini.. hmmm..

ada kisah nak dikongsi bersama mereka yang tersesat baca blog ni..

Selama ni aku fikirkan 'orang itu' agak angkuh.. sombong diri. sampai aku nak senyum sebagai tanda penghormatan pun tak mampu lantaran dia seolah tidak akan menyahut senyuman aku.

Satu pejabat.. tapi tak macam. Wajah aku agaknya adalah wajah yang buat kaum adam nyampah kot??

takpe, aku dah biasa pandangan begitu. Bila setiap kali aku terserempak dengannya, aku pasti akan buat tak tau.. dan tak tauu..

until one day, hmm tempat keje besebelah. aku perlu naik ke tingkat atas dari tempat asal, jadi secara tidak langsung aku akan sering bertembung denganya. but, aku masih buat tak tau.. sehinggalah ada satu ketika aku buka pintu aras aku tu, dan dia pula hendak keluar dari aras tu.

aku biarkan pintu tu terbuka luas, atas tujuan untuk orang yang pegang barang di belakang ku, dia macam 'perasan' ingat aku bukakkan untuk dia.. cehhhhhh... dah sombong, apahal aku nak tolong bukakkan??

dia berlalu dan secara tidak sengaja dia terperasan yang aku tak bukakkan untuk dia. dengan serta merta dia cakap ' ooo.. ada orang lain ek?' dan aku jawap 'hmmm...' sambil senyum kelat. (padan muka)

sejak dari tu, dia macam dah mula nak senyum2.. tapi masih nampak la berhati hati senyum tu. takut kalau2 aku pulak tak balas dan buat donooo... (tau pun)..

well.. at 13th feb, lain dah ceritanya, waktu petang aku jogs macam biasa.. then habis jogs, aku terus tuju ke pejabat (tempat parking kete) dan aku terserempak dia ni di parking area taman yg aku selalu jogs.

dia memang parking kete di 'taman astakona' tu.. tika berjalan tuju ke ketenya dan aku hendak melepasinya, aku cuba positifkan diri, aku dongak ke arah dia dan senyum..

wahhhhh.. sungguh tak ku sangka, dia senyum meleretttttt..... dan lebarrrr hahahahahha.... dan lagi... dia memulakan perbualan ringkas. ' joging ke?' dalam hati aku, dah aku pakai sut jogs.. pastu ada di taman jogs, tentu le jogs.. adoiiii.... hahahaha... tapi untuk menghormati pertanyaannya, aku jawab ' ha aa.. hehe'. dia sambung tanya 'joging kat mana? satu bulatan tasik tu ke? aikkkk.. tanya ke perli tu?? aku jawab je ' jogs belakang tu la... tak bulat pun.. separuh je' aku tak tau la dia paham ke buat2 paham. hahahahhaha... dan dia 'oooooo....' kami teruskan urusan kami masing2...

sekian... hikss

Tuesday, 1 November 2011

Insaf seketika...

semalam, sekali lagi aku diduga.. pintu bilik terkunci.. dah siap masak nasi lemak untuk berbuka. Azan berkumandang, aku berbuka dgn kurma dulu. lepas tu cari air.. air pulak aku letak dibilik. hmm... pulas aje tombol pintu, aku dah tau terkunci! huwaaaa... dah 2 kali sejak pindah rumah baru.. cuainya aku. sampai satu tahap, aku sentiasa remind akal supaya hal tu tak berulang. tapi tak sangka, tah bila.. aku buat lg.. dalam keadan baru lepas masak (maksudnya belum mandi.. belum solat) aku dengan selamba bgtau kawan serumah. masalahnya aku takde pendua... dan kerana yakin sesangat, aku kata nak cuba bukak guna plastik (Ni resepi zaman di Uitm dulu2, asal terkunci bilik jer, amik plastik, xray atau kad telefon yg expired then masukdi celah pintu. Kalo plastik dari bawah pintu.. tarik sampai ke tombol... lepas tu, mula la goncangkan pintu tu sambil plastik tadi ditarik ke atas) Hari tu aku berjaya... tapi tak sangka kali ni, gagal. 1 jam aku usaha... kawan serumah pun aku tak benarkan tolong, sebab dia mengandung... tapi kerana kesian, dia ada cuba2 jugak.

aku larang dan larang... dari masa ke masa.. aku terus cuba.. sampai guna 3 plastik.. hancur.. hahahaha... aduiiii... kawan serumah bg kad plastik yg letak nama dan jawatan (ada jual kat mydin) aikk.. mydin la pulak... (apapunnn tklehh). Masih tak berjaya... tapak tangan kanan dah bengkak.. goncangan pintu kejap kuat kejap perlahan, sambil2 mulut ngomel, "Ya ahmad albab.. tolong la bukak".. Kadang-kadang risau kalau2 jiran atas bawah tepi marah sebab bising.. bila penat aku rehat jap. at last, kawan serumah bg cadangan, cuba tanya tuan rumah kalau2 ada spare key. lepas call tuan rumah kata tak jumpa lak, aku bg cadangan nak bukak tombol tu. nasib la tuan rumah setuju.. kemudian, bermula la operasi aku guna screw apa tah nama dia. aku cuba bukak penutup tombol tu.. ketuk dua tiga kali, takmau pulak bukak. dah penat... tapi sempat jugak aku bebuka dengan nasi lemak buatan aku tu. cumanya selera jd kurang..

lepas makan, aku amik screw tu aku jolok ke lubang kunci di tombol.. sambil landing di dinding.. cakap "Ya Allah, tolong la bukakkan pintu niii, aku nak mandi solat buat keje pejabat.. n last nak tidooo" dan tangan kanan terus dan terus pusing kiri dan kanan sambil pegang screw tadi.. tiba2... "Tap tap tapp!!" hah... aku tegamam.. kawan serumah terus bingkas, dia cuba pulas tombol.. dannn, alhamdulillahhh.. berjaya... aku hari tu jadilah 'Mek gyver" kahkahkahkah.... kerana penat aku rehat kejap dalam 15 minit. Then aku mandi, solat... bukak laptop.. nak buat keje.. tapi kerana letih, pastu software pulak tak suitable... aku terus off.. sedar tak sedar baru jam 10.30pm. taktau la kalo jiran sebelah amik tau pasal kes aku terkunci tu. ahhh... bukan aku mintakk... apapun sume dah selesai..
sekarang nak tido.. before lemparkan badan atas tilam power, aku menjengah ke tingkap. hujan renyai2... dan ada sebuah kisah lagi... buat hati aku tersentuh....

ada sebuah myv putih, behenti di bawah flat. seorang lelaki turun dari side pemandu.. sambil berlari lari anak, dia bukak pintu belakang belah kirinya. aku nampak ada kerusi roda, hati berkata... dia mungkin bawak mak dia agaknya.. atau nenek ke. tapi sangkaan aku meleset.. tiba2, pintu kiri belah pemandu dibuka. aku nampak seorang lelaki agak perfect.. ditambah hensem.. gayanya seperti usia 25 ke bawah.. pakai cap.. aku perhatikan mereka.. kerana ada satu situasi buat aku menitik air mata. lelaki yang perfect itu rupanya.. tidak mampu berdiri lama.. inikan pula berjalan. kawannya keluarkan wheelchair, bukak segera kerusi tu dan letak atas koridor tepi keretanya. hujan masih renyai2.. kesian pulak.. lelaki tadi tanpa menunggu lama terus meletakkan lapik punggungnya di atas kerusi tu dan segera duduk... aku tgk dia menggigil waktu berdiri. terpaksa pegang kiri dan kanan, kalau ikutkan dia tak la gemuk.. luarannya perfect. aku tak nampak walau sikit pun calar mahupun kecederaan.. semua okey secara luaran... Ya Allah, aku sempurna.. tak perlu pertolongan orang lain.. aku dah enjak 30-an.. dan masih  hebat!.. Alhamdullilah...

kawannya terus tolak wheelchair lelaki itu, dan bawa ke lif.. hatiku memanjat kesyukuran, masih ada remaja/belia yang berhati mulia. moga Allah rahmati kawannya itu dan juga lelaki itu. Jauh disudut hatiku terdetik, harap2 Allah temukan aku dengan lelaki itu satu hari nanti.. aku nak tgk lebih dekat... bukan niat buruk, cuma tiba2 rasa nak kenal, siapakah lelaki istimewa itu? Sebab dia berani keluar dari rumah... pada aku itu dah kira dia seorang yang kuat semangat!... moga dia tak jdkan kekurangannya satu perkara yang melemahkan dia.. moga dia tabah. aminn... 

Wednesday, 19 October 2011

Terlintas: Jejaka tahi lalat

Salam pagi..

Berehat seketika, teringat satu cerita.. cerita diri. Sejak akhir-akhir ini, rajin pulak aku berjogs di tasik berdekatan rumah aku. Hampir setiap sabtu dan ahad, sekitar jam 6.15 petang, aku akan ke tasik itu untuk menghabiskan masaku berjogs.. mula-mula rasa segan sebab tempat itu menjadi tumpuan. mungkin aku akan kurang selesa untuk berlari dan bersenam.. tapi akhirnya aku berjaya buangkan jauh-jauh perasaan maluku dan buat-buat macam biasa, selamba. Selepas dua hari berjogs... terasa seronok, sebab tak perlu pergi jauh-jauh dan tak membazir minyak kereta. masuk minggu kedua, aku sambung aktiviti berjogs seperti biasa. Makin seronok, makin ramai juga kaum adam dan hawa bersama-sama berjogs. kadang kala ruang jadi terhad dan alatan bersenam seolah-olah perlu berebut.

Itu bukan masalah bagiku, sementara menunggu kekosongan alat senam, aku boleh berjogs kelilingi tasik 'comel' tu. Dan bila berpeluang untuk gunakan, aku pasti gunakan peluang itu. Cuma yang kurang selesanya, kehadiran bangsa asing yang majoritinya adalah warga bangladesh. itu memang buat aku rasa cuak dan kadang kala nak marah sebab mereka melepak dan kuat betul memerhati. ada juga rasa nak korek biji mata warga bangladesh tu! Aku guna walkman... jadi apa saja perkataan yang dikeluarkan oleh warga yang tidak diundang ni, tidak didengari aku.. kalau warga bangladesh menegur pun aku buat tak tau. buat-buat pekak. geram dan sakit hati! namun aku masih teruskan aktiviti aku tanpa memikirkan warga-warga yang tidak diundang tu. satu petang, aku turun dari flat hijau agak lewat, kira-kira 6.30 petang aku memulakan aktivitiku. tak sangka pula terserempak dengan kawan lama, kami berbual kira-kira 15 minit, jadi masa yang tinggal untuk bersenam terlalu singkat. aku tetap meneruskan senamanku, dan ketika itu aku tidak perasan sejak bila ada seorang jejaka ada didepanku joggings bersama.

Orang lain semakin mengundur diri dari kawasan tasik kerana jam menghampiri 7 malam. aku masih meneruskan usaha berjogs.. target aku setiap kali jogs.. pusing tasik sekurang-kurangnya 5 atau 6 kali (sama ada jogs atau berjalan).. tanpa sedar waktu magrib semakin begitu dekat. aku cuba menghabiskan pusingan terakhir dan ketika itu aku perasan hanya tinggal aku dan.. jejaka tadi. sepanjang berjogs, jejaka itu didepanku.. jadi secara tidak sengaja, pandanganku adalah ke arah depanku.. dan ada satu ketika pula, mataku tertumpu ke arah leher jejaka tadi. ada sesuatu yang menarik perhatianku, iaitu tahi lalatnya yang agak besar berada dileher kiri dari pandanganku. aku berasa tenang untuk meneruskan jogs kerana jejaka itu. sekurang-kurangnya ada 'peneman' secara tidak sengaja. dan sebagai perisai agar tidak diganggu oleh warga asing. aku cuba berjogs tidak jauh dari jejaka tahi lalat itu sehingga ke penghujung pusingan. dengan cara macam tu, aku yakin tiada warga asing yang berada sekitar tasik, mengganggu 'keselesaan' aku sebab mereka mungkin berfikir aku 'bersama' jejaka tahi lalat tu.

puas hati dapat laksanakan juga plan mingguan. thanks to jejaka tahi lalat. sebab kehadiran dia pada hari itu, membantu aku selesaikan hasrat jogs walau lewat petang. tiada gangguan warga itu, yang buat aku suka. sejak hari itu, untuk minggu-minggu yang seterusnya, kami sering bertembung, tapi aku tak boleh katakan itu 'jodoh bertemu', sebabnya, memandangkan jejaka tahi lalat itu pun tinggal dikawasan yang sama dan berjogs pun ditempat yang sama dan memandangkan itu adalah satu-satunya tempat terdekat untuk senaman, jadi, tidak mustahil kami sentiasa bertembung. waktu yang kami ambil pun lebih kurang sama.. aku tidak memikirkan lebih dari hendak berkawan. aku anggap jejaka tahi lalat sama macam kaum adam lain yang berjogs ditempat sama. nothing special.. aku pun sedar 'kedudukan' aku... bukan jadi tumpuan pun... hahahaha.. (ni gelak sakit hati) sebab aku jadi tumpuan warga itu! dan semua wanita lain yang  berjogs.. pasti menjadi santapan mata warga itu. aishhhh tak suka!! tak suka!!

apa boleh buat?? macam aku katakan tadi, situ aja tempat yang paling dekat. jadi.. mau atau tidak, gunalah apa yang ada dan menjimatkan.. hehehe.. minggu yang seterusnya, aku berjogs macam biasa, dan macam biasa tiba-tiba jejaka tahi lalat itu ada didepanku.. ntah bila dia melintas, aku sendiri tidak perasan. aku memang tak mau ambil tahu tentang sesapapun yang berjogs disitu, aku tidak melihat wajah mereka, aku hanya tumpu pada larianku. tapi.. jejaka tahi lalat itu menjadi tumpuanku secara tidak sengaja. mungkin kerana setiap kali diakhir jogsku.. hanya tinggal aku dan dia. aku tidak pernah melihat atau cuba-cuba memerhati wajahnya. jadi, kalau aku bertembung jejaka tahi lalat secara face to face, aku tidak akan 'cam'. melainkan kalau aku tengok dari belakang.. kemungkinan besar aku boleh 'cam' dia... penanda aras adalah tahi lalat besar belah kiri, belakang leher... itulah bukti yang aku akan gunakan setiap kali ada kaum adam didepanku yang kelihatan sepertinya.

aku tidak menunggu dia dan tidak terfikir-fikirkannya mahupun tercari-cari setiap kali berjogs disitu. Aku sudah motivasi diri 'jangan fikir tentang lelaki' sebab aku rasa aku dah penat memikirkan kaum adam yang masih belum masanya diberi Allah padaku. jujurnya, sesekali hal itu akan melintas dihati diakal... tapi aku mencuba sedaya upaya untuk tidak memikirkannya.. sebab aku jenis yang.. bila fikir, aku mengharap... at last, macam biasa apa yang aku harapkan sekadar kisah dongeng ciptaan aku. dan paling sedih, aku merana.. mungkin aku rasa aku dah bersedia, tapi sebenarnya Allah lebih tahu.. cinta dari seorang jejaka untuk aku adalah 'belum masanya'... sebab itulah aku tidak pernah memandang wajah jejaka tahi lalat, walau kadang-kadang aku rasa, dia ada juga sesekali memandangku.. atau betul-betul berada dihadapanku.. dan ketika itu, aku pasti akan mengalihkan pandanganku sama ada tengok kaki sendiri sambil berjogs.. atau toleh kiri atau kanan. yang penting aku tak nampak wajah jejaka tahi lalat itu. sebab aku tak mahu nanti, bila dah tengok dia, aku ingat wajah dia.. dan hati dan akal aku pula bersatu jadikan wajah jejaka tahi lalat itu sebagai watak utama dalam 'kisah dongeng' ku... aku ni suka berangan-angan.. tapi sekarang, dah penat.. sangat-sangat penat. aku mahu hentikan semua cerita dongengku... terima hidup tanpa 'teman' seadanya kerana Allah ada perancangan lebih baik dan sempurna untuk aku kelak. :)

namun baru-baru ini, aku nyaris-nyaris bertentangan mata dengan jejaka tahi lalat itu. macam biasa, aku jogs agak lewat. dia juga sama.. kehadiran mereka yang lain juga agak kurang dari yang biasa. setelah berjogs beberapa pusingan, dia bersenam dengan beberapa alat senaman.. (wah.. aku dah mula memerhati ke??) ketika larian aku semakin hampir dengan area dia bersenam, mataku tidak boleh dialih ke arah lain.. degil sungguh mataku!!.. dah bila semakin dekat.. aku semakin tewas dengan mataku sendiri. paksaan dari bahagian tubuh lain supaya hentikan pandangan mataku.. seolah tidak berjaya.. sehinggalah, dia dengan tiba-tiba menoleh ke arahku. dalam jarak yang agak dekat, bukan sahaja bahagian tubuhku yang lain terkejut, mataku sendiri tergamam bila perasan dia pandang ke arahku.. tapi.. alhamdulillahh.. serta merta, aku berjaya alihkan pandangan mataku ke kakiku! alhamdulillahhhh.. aku berjaya 'tidak melihat wajahnya'... aku berjayaaaa!!!... semoga akan terus kekal berjaya!..

aku perasan, dia memandangku agak lama... sebab lirikan mataku masih berbasi ketika itu.. aku biarkan. dia terus berlalu dari tempat alat senaman.. aku pula mengambil alih. pandanganku kembali ke arahnya.. aku melihat dia berlalu pergi.. aku tersenyum seorang tika terpandang tahi lalatnya.. senyumku dikala senja.. macam tak betul pun ada kot.. hahahaha... cerita ini hanya dari sudut aku sahaja.. jejaka tahi lalat tidak pernah berikan apa-apa.. melainkan kerana aku kenal tahi lalatnya.. dia ku jadikan tumpuan.. semua kerana mataku.. bukan aku.. tapi.. akalku pun bekerjasama... tapi lagi.. nampak gayanya, jari jemari aku pun mula memberi sokongan.. (sebab rancak menaip tentang jejaka tahi lalat).. hahaha.... padahal dia dengan dunianya.. mungkin! MUNGJKIN!!.. dia tidak kenal pun aku.. tidak perasan langsung kehadiran aku di tasik itu... hahahaha... apa boleh buat, ini kisah betul aku.. kisah dongeng realiti...

hmmm... kadang kala aku harap dia akan menegurku.. berkawan... tapi, untuk apa? kalau sekadar bertegur sapa.. tiada penghujungnya.. kalau dia ajak berkawan.. well, baru ok, at least separuh kisah dongeng aku menjadi nyata... smile-smile... hehehehe..

selepas aku puas guna alat senaman, aku segera bangun dan mulakan larian.. hari dah lewat, aku plan tak mau berada di tasik itu ketika azan berkumandang. sebab itu aku berjogs.. cepat la sampai ke penghujung tasik (tempat aku tutup senaman harian ku). dia sekadar berjalan... so, maknanya, aku bakal melepasi dia la.. dan waktu aku semakin menghampiri jejaka tahi lalat, ada pula seorang warga bangladesh entah dari mana berjalan seiring dengan dia.. so laluan yang tinggal untuk aku adalah ditengah-tengah keduanya. aku cuba memperlahan jogsku.. tapi waktu yang sama, warga bangladesh itu beri laluan, dan aku terus melepasi dia... dannnn at that time, aku perasan, jejaka tahi lalat menoleh kekiri.. setentang dengan pipiku.. kami begitu rapat, tak sampai sejengkal pun.. aku cuba melajukan larian, tapi entah kenapa, aku rasa macam aku lari setempat je.. hahahahaha.. tiba-tiba gementar hati.. walhal, aku sorang aja rasa macam tu...

aku terus larian sampai ke penghujungnya... aku berhenti menghadap blok kediamanku.. dan membuat senaman penutup... sesekali aku menoleh ke belakang, dia sedang menggunakan alat senam tidak jauh dariku.. dia sudahkan senamannya dengan berjalan sambil membuat senaman penutup. kami berselisih seperti biasa... dan dia berlalu pergi, begitu juga aku..... aku rasa kediaman dia blok A.. dan aku di blok D.. :)

end-
  


Lagu yang kena dengan diri: Kisah dongeng

Ku sedar ku tak seberapa
Jika dibanding mereka
Yang jauh lebih megah dari diri ini

Apa yang mampu ku berhias
Hanyalah hati yang ikhlas
Terpendam simpan untuk dia yang sudi

(korus)

Mencintai aku dengan seadanya
Mencintai aku bukan kerana rupa
Dalam waktu sedu
Dalam waktu hiba
Ku harapkan dia rela


Mencintai aku dengan seadanya
Sanggup menerima insan tak sempurna
Atau mungkin cinta sebegitu hanya
Kisah dongeng saja

Belum pernah ku merasakan
Dipeluk dalam dakapan


Eratnya melindungi jiwa rapuh ini

Sanubariku memerlukan
Kehadiran seorang teman
Tulus mencurah kasih sepenuh hati

(ulang korus)

lagu ini.. aku suka... ia betul-betul kena pada aku... kecuali, impian 'dipeluk dalam dakapan' bukan ketika tiada ikatan sah... tetapi sebaliknya... hehehe..

bagusnya lirik ni, aku suka.. sangat-sangat suka.. simple but meaningful bagi orang yang macam aku... insan yang tak sempurna dan tidak cantik cuma ada hati yang ikhlas untuk mencintai dia seorang teman yang bakal diberikan Allah apabila tiba tikanya nanti... aku sabar menanti :).. aku tidak mahu kisah dongeng sahaja tapi realiti dalam hidup aku ;)

Wednesday, 7 September 2011

KONGSI ILMU dr kawan kpd kawan : Hikmah Zakat Fitrah

Apa hikmah diwajibkan zakat fitrah?

1. Sebagai pembersihan bagi orang yang berpuasa dan menampung kekurangan puasa mereka. Hikmah ini berdasarkan hadis dari Ibnu ‘Abbas r.a. yang menceritakan;

“Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah untuk menyucikan orang berpuasa dari perkara sia-sia dan ucapan-ucapan kotor dan juga sebagai makanan kepada fakir miskin” (Hadis riwayat Imam Abu Daud , Ibnu Majah dan al-Hakim).

Seorang ulama’ bernama Waki’ bin al-Jirah berkata; “Zakat fitrah bagi puasa Ramadhan seumpama sujud sahwi bagi solat di mana ia membaiki kekurangan puasa sepertimana sujud sahwi membaiki kekurangan solat”. (al-Iqna’, jil. 1, hlm. 324)

2. Sebagai bantuan untuk orang miskin; iaitu untuk membantu mereka sekadar yang terdaya agar mereka dapat sama-sama bergembira dan menikmati makanan tatkala berhari-raya. Hikmah ini berdasarkan hadis dari Ibnu ‘Umar yang menceritakan;

“Rasulullah s.a.w. telah mewajibkan zakat fitrah dan baginda berpesan; “Cukupkanlah mereka (yakni orang-orang fakir miskin) pada hari ini (yakni hari raya puasa)””. (Riwayat Imam al-Baihaqi dan Daruqutni/lihat hadis ini dalam Nailul-Authar, Imam asy-Syaukani, bab Zakat al-Fitri)


diambil dari Encik Blogger http://fiqh-am.blogspot.com/

KONGSI ILMU dr kawan kpd kawan : Puasa Sunat (6 HARI SYAWAL)

Apakah dalil bagi kelebihan berpuasa di bulan syawal?

Dalilnya ialah sabda Nabi s.a.w.; “Sesiapa berpuasa bulan Ramadhan, kemudian ia ikuti dengan berpuasa enam hari di bulan syawal, maka ia seolah-olah berpuasa setahun” (HR Imam Muslim dari Abu Ayyub al-Ansari r.a.)

Adakah disyaratkan puasa enam hari itu dilakukan berturut-turut?

Tidak disyaratkan. Harus diselang-selikan asalkan dalam bulan Syawal dan bilangannya mencukupi enam hari. Namun yang terbaik (afdhal) ialah melakukannya berturut-turut dan lebih afdhal lagi memulainya dari dua syawal.

Jika seseorang itu mempunyai puasa Ramadhan yang perlu diqadhanya, adakah harus ia berpuasa enam sebelum mengqadha puasanya?

Harus kerana puasa qadha Ramadhan memiliki waktu yang panjang untuk dilakukan iaitu sehingga Ramadhan tahun berikutnya, adapun puasa enam hari di bulan Syawal waktunya adalah terhad. Namun jika kita dapat melakukan puasa qadha terlebih dahulu, kemudian diikuti dengan puasa Syawal, itu yang terbaik kerana kita mendahulukan ibadah yang wajib ke atas yang sunat. Dan ada ulamak berpendapat; harus kita meniatkan keduanya sekali dalam satu puasa, tetapi yang terbaik kita memisahkannya kerana akan memperbanyakkan amalan kita kepada Allah.

KONGSI ILMU dr kawan kpd kawan : Menangani kekeliruan amalan puasa Rejab

Muslim patut laksana ibadah berdasarkan neraca ilmu agar segala perbuatan tidak sia-sia


BAGI sesetengah masyarakat Muslim, Rejab dianggap bulan penuh keberkatan dan fadilat. Rejab turut disebut sebagai bulan Allah SWT.

Justeru, didapati segelintir masyarakat amat suka melakukan amalan sunat khususnya berpuasa pada Rejab. Diriwayatkan hadis yang menceritakan fadilat puasa pada Rejab. Contohnya ada riwayat menyatakan amalan berpuasa satu hari pada Rejab ganjaran pahalanya menyamai puasa 40 tahun dan diberikan syurga paling tinggi.



Jika berpuasa dua hari, pahalanya dilipat gandakan, manakala amalan pahala pada 27 Rejab sama dengan pahala 40 bulan. Kalau dibuat pula sedekah pada hari berkenaan, pahalanya menyamai 1,000 tahun. Begitulah seterusnya. Namun ada pula dalam nada dan pandangan berbeza menafikan amalan berpuasa pada Rejab. Hujahnya ialah riwayat hadis fadilat Rejab ialah dhaif, sangat dhaif dan maudhuk (palsu).

Akhirnya timbul pula kekeliruan dalam masyarakat yang ingin beramal. Kekeliruan ini membawa kepada gejala negatif dan tidak sihat sehingga mewujudkan golongan yang langsung tidak mahu berpuasa pada Rejab kerana tiada fadilat dalam hadis yang sahih menurut pandangan mereka.

Bukan sekadar itu, wujud pula pertikaian di kalangan masyarakat yang berpuasa pada Rejab dengan masyarakat yang tidak berpuasa. Ada yang menangis kesal kerana sudah lama berpuasa pada Rejab. Rupa-rupanya amalan itu sia-sia dan tidak mendapat pahala. Alangkah rugi dirinya kerana melakukan perkara sia-sia.

Kekeliruan ini muncul kerana beberapa sebab. Antaranya kehilangan adab dalam memberikan pandangan dan kefahaman yang berbeza. Maka wujud golongan yang menyalahkan amalan orang lain, menyesatkan orang lain, memfasiq golongan lain dan pelbagai hukum yang buruk dilemparkan.

Mungkin datang seorang ustaz dalam kuliah agama membawakan riwayat hadis mengenai fadilat Rejab dan amalan baik. Pendengar di masjid bersemangat untuk melaksanakan amalan baik walaupun sedikit. Namun, dalam kuliah agama esok malam pula, ustaz lain membawakan hukum bahawa riwayat hadis dalam fadilat Rejab tidak benar. Begitulah malam seterusnya dengan pelbagai pandangan yang berbeza 180 darjah.

Sebagai individu Muslim, isu fadilat Rejab harus menjadi pemangkin kepada diri untuk menjana ke arah yang positif antaranya:
  • Sebelum memulakan sesuatu amalan, seeloknya biarlah berdasarkan neraca ilmu. Oleh itu, gali ilmu mengenai fadilat Rejab melalui pelbagai sumber. Kita boleh merujuk internet yang sarat dengan maklumat atau membaca buku mengenai fadilat Rejab serta amalannya. Bertanya kepada ahli ilmu, ustaz dan ulama untuk memperoleh kefahaman lebih jitu.
  • Jika diyakini ada fadilat Rejab walaupun hadisnya daif, namun diterima sebahagian ulama, maka beramallah. Amalan itu berdasarkan ilmu yang sudah digali.
  • Jika diyakini hadis mengenai fadilat Rejab adalah palsu dan sangat daif, maka tidak perlu beramal. Biarkan seketika amalan berkenaan. Lagipun jika ditinggalkan amalan, bukan satu kesalahan dan dosa. Amalan yang dinyatakan dalam riwayat hadis hanya termasuk dalam ibadah sunat. Pada masa sama, tidak wajar disesatkan masyarakat yang beramal kerana berpegang dengan fadilat Rejab. Biarlah perbincangan, muzakarah, diskusi dan wacana ilmu dalam suasana mahabbah dan harmoni.
  • Lebih baik lagi dibuat amalan yang pasti ketika Rejab. Dalam amalan berpuasa, ada hadis sahih menerangkan puasa sunat. Contohnya puasa tiga hari setiap bulan. Hadis ini ada dalam riwayat Imam Muslim. Antara amalan Nabi Muhammad SAW ialah berpuasa pada Isnin dan Khamis seperti riwayat Imam Muslim. Begitu juga puasa pada hari putih iaitu 13, 14 dan 15 setiap bulan seperti diriwayatkan Sunan Abi Daud.
  • Oleh itu, antara dua pandangan berbeza mengenai fadilat puasa ketika Rejab, berpuasalah pada Isnin dan Khamis. Juga berpuasa pada 13, 14 dan 15 Rejab. Dalam puasa sunat ini pun, bilangannya sudah 10 hari. Kalau hukum sebenar bahawa tiada fadilat bagi Rejab, Alhamdulillah kerana kita berpuasa dengan sunnah Nabi SAW. Jika hukum sebenar ada fadilat bagi Rejab, syukur kepada Allah SWT kerana kita juga berpuasa sunat.


Bagi yang sudah lama beramal dengan fadilat Rejab, namun kini mungkin diyakininya hadisnya tidak sahih, jangan bersedih. Amalan baik yang dibuat insya-Allah tidak akan sia-sia. Hendaklah disedari bahawa Allah itu sifat-Nya maha pengampun. Rahmat Allah meliputi segala sesuatu. Sudah tentu hasil jerih seseorang insan beribadat sekadar kemampuan yang ada akan diganjari.

Umum firman Allah mafhumnya: Sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala golongan yang berbuat baik. (Surah at-Taubah: 120). Dalam surah Aali Imran ayat 171, Allah azza wajalla tidak akan mensia-siakan pahala golongan beriman.

Sesungguhnya ilmu itu amat luas. Ilmu yang dikurniakan tidaklah banyak. Sewajarnya ilmu yang ada dicari dan dihadami, maka biarlah amalan itu berdasarkan neraca ilmu, bukan lagi ikut-ikutan.